KUALA LUMPUR: Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) Alternatif mampu milik dengan bayaran RM100 yang akan diperkenalkan mulai 1 Oktober ini bukan hanya terhad kepada golongan tertentu, sebaliknya dibuka kepada seluruh rakyat negara ini.Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman, berkata pihaknya menganggap pengumuman itu sebagai khabar gembira kepada rakyat yang selama ini mengharapkan kadar bayaran RM300 itu diturunkan kepada harga lebih rendah.
"Kerajaan melakukan semua ini berdasarkan keperluan semasa dan permintaan orang ramai yang berasakan kadar membuat pasport begitu mahal dan membebankan. Justeru pengumuman ini membuktikan permintaan rakyat selama ini diambil kira dan dipandang serius oleh kerajaan.
"Mungkin bagi sesetengah orang harga RM300 bagi 32 muka surat untuk tempoh lima tahun bukanlah membebankan tetapi bagi mereka yang tidak mampu pastinya kadar bayaran itu amat memeritkan, apatah jika hanya sesekali mereka ke luar negara," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, mulai 1 Oktober ini, semua bakal haji dan umrah, ibu bapa yang mahu menghantar anak mereka ke luar negara melanjutkan pelajaran serta peserta lawatan sambil belajar ke negara asing boleh memohon PMA alternatif mampu milik dengan bayaran RM100.
Abdul Rahman berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan akan berlaku peningkatan jumlah permohonan untuk membuat pasport antarabangsa selepas kerajaan memperkenalkan PMA Alternatif mampu milik itu mulai 1 Oktober ini.
Beliau berkata, pada masa ini ada tujuh juta pemegang pasport antarabangsa dan tidak mustahil selepas ini jumlah permohonan terus meningkat berikutan pemegang pasport yang akan tamat tempoh hanya menunggu sehingga 1 Oktober ini untuk mendapat kadar baru.
Sementara itu, tinjauan Berita Harian semalam mendapati orang ramai menyambut baik langkah kerajaan menurunkan harga pasport antarabangsa daripada RM300 kepada RM100 memandangkan lebih ramai dapat menikmati peluang itu.
Abdul Razak Ahmad, 54 yang bekerja sendiri berkata, selama ini rakyat berpendapatan rendah terpaksa berfikir panjang untuk membuat pasport kerana harganya terlalu mahal sedangkan ia hanya sesekali dalam tempoh lima tahun.
"Selepas puas bekerja kita teringin untuk ke negara orang selepas menyimpan duit tetapi apabila memikirkan nilai RM300 yang terpaksa dikeluarkan untuk sekali kegunaan hasrat itu terpaksa dipendam saja," katanya.
Pesara, Abu Bakar Uda, 58 berkata, dia bersyukur kerana kerajaan prihatin terhadap golongan kurang berkemampuan yang ingin menunaikan haji atau umrah.
Pesara kerajaan, Hussin Uda Itam, 59 berkata, walaupun tempoh sah laku hanya dua tahun tetapi pemohon pasti tidak kisah kerana mereka bukannya selalu ke luar negara atau hanya pergi untuk sekali perjalanan saja.
Kakitangan swasta, Norhamidah Saidin, 37 berkata, penurunan harga pasport ini pastinya akan menjadi satu bonus dan hadiah istimewa kepada rakyat seperti dirinya sekali gus menggalak melancong ke luar negara selepas ini.
Sumber: Berita Harian
No comments:
Post a Comment